Halaman

Laman Utama

Powered By Blogger

Jumaat, 5 Mac 2010

SKIM RONDAAN SUKARELA (SRS)

Gambar ini diambil semasa anggota SRS sedang meronda.
PANDUAN PENGENDALIAN SKIM RONDAAN SUKARELA DI BAWAH

PERATURAN-PERATURAN PERLU RUKUN TETANGGA (1975)

1. PENDAHULUAN

1.1. Skim Rondaan Sukarela adalah suatu skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga (1975), Pindaan 1988.

1.2. Skim ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga yang bertindak sebagai Jawatankuasa Skim, manakala rondaan dilaksanakan oleh tidak kurang dari 20 pemastautin sukarelawan yang memohon untuk melaksanakan rondaan di sebahagian atau di seluruh kawasan Rukun Tetangga.

1.3. Skim Rondaan Sukarela dijangka menjadi tulang belakang bagi program serta aktiviti Rukun Tetangga kerana ia boleh mencegah kejadian dan gejala sosial negatif di samping dapat merapatkan hubungan Rukun Tetangga dengan penduduk setempat.

2. TAFSIRAN

2.1. Skim Rondaan Sukarela bermaksud satu skim yang dipohon sendiri oleh pemastautin dan apabila diluluskan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Skim dengan kerjasama Pemastautin Sukarelawan dalam sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.

2.2. Jawatankuasa Skim bermaksud Jawatankuasa Kawasan/Sektor yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.

2.3. Ahli Jawatankuasa Skim bermaksud Ahli Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.

2.4. Pemastautin Sukarelawan bermaksud seseorang yang telah membuat permohonan melalui Borang Enam dan Tujuh untuk menyertai Skim tersebut.

2.5. Peralatan Rondaan bermaksud peralatan bagi menjalankan Skim Rondaan Sukarela adalah seperti vest, wisel, cota, lampu picit, baju hujan dan lain-lain yang dibekalkanoleh Jawatankuasa Skim.

2.6. Pengarah bermaksud seseorang yang telah diwartakan sebagai Pengarah Rukun Tetangga di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (RT) 1975.

3. PUSAT RONDAAN

3.1. Setiap Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela perlu mempunyai sebuah pusat rondaan sebagai pusat operasi.

3.2. Pusat rondaan boleh diadakan di pusat atau di bangunan Rukun Tetangga, Balai raya, dewan orang ramai, pos kawalan, di rumah ahli Jawatankuasa Skim atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai yang dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga.

3.3. Alat-alat yang perlu ada di pusat rondaan adalah: Buku Rekod Kedatangan, Daftar Pemastautin Sukarelawan, Buku Rekod Rondaan, Kotak Pertolongan Cemas dan lain-lain peralatan yang difikirkan perlu oleh Jawatankuasa Skim atau Pengarah Rukun Tetangga.

4. TUJUAN RONDAAN

4.1. Membantu mencegah jenayah dan gejala sosial yang negatif di dalam kawasan rondaan.

4.2. Membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial yang negatif.

4.3. Membantu pihak berkuasa menangkap penjenayah dan menyerahkan penjenayah tersebut kepada pihak polis dangan kadar segera.

4.4. Membantu menguatkuasa undang-undang jika diminta berbuat demikian oleh Pengarah Rukun Tetangga dan lain-lain agensi penguatkuasa seperti polis.

4.5. Memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda pemastautin.

4.6. Membantu melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Skim dari semasa ke semasa.

5. TUGASAN RONDAAN

5.1. Tugas rondaan terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu rondaan berjalan kaki dan rondaan berkenderaan.

5.2. Rondaan berjalan kaki tidak kurang dari 3 orang Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan tidak melebihi 2 kilometer.

5.3. Manakala rondaan berkenderaan tidak kurang dari 3 orang anggota Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan yang lebih luas.

5.4. Rondaan berkenderaan boleh dilaksanaan samada dengan menggunakan kereta, motosikal atau basikal.

5.5. Setiap Pemastautin Sukarelawan adalah bertanggungjawab bagi mendapatkan tarikh, masa dan kawasan rondaan daripada Jawatankuasa Skim.

6. TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA SKIM

6.1. Menyediakan Daftar Pemastautin Sukarelawan yang mengandungi butir-butir peribadi Pemastautin Sukarelawan.

6.2. Menyediakan Roster Rondaan Pemastautin Sukarelawan.

6.3. Memaklumkan kepada semua Pemastautin Sukarelawan kandungan Roster Rondaan dan membekalkan satu salinan kepada Pengarah Rukun Tetangga dan pihak polis.

6.4. Mempamerkan Roster Rondaan di Pusat Rondaan.

6.5. Memilih seorang Pemastautin Sukarelawan sebagai Ketua Kumpulan Rondaan bagi setiap syif.

6.6. Menyusun rondaan sukarela.

6.7. Mendapatkan Surat/Kad Pengenalan Diri Pemastautin Sukarelawan yang telah ditandatangani Pengarah Rukun Tetangga.

6.8. Menyediakan peralatan rondaan yang diperlukan.

6.9. Mendapatkan sumber kewangan dan menjelaskan segala perbelanjaan berkaitan dengan rondaan sukarela.

6.10. Memberi maklumat yang dikehendaki oleh Pengarah Rukun Tetangga dan pihak Polis dari masa ke semasa berhubung dengan pengendalian Skim Rondaan Sukarela.

6.11. Menyedia dan mengemukakan Laporan Bulanan Rondaan kepada Pengarah Rukun Tetangga.

7. TAKLIMAT SEBELUM MEMULAKAN RONDAAN

7.1. Ketua Kumpulan Rondaan hendaklah membuat persediaan pada tiap kali sebelum memulakan rondaan.

7.2. Taklimat sebelum memulakan rondaan hendaklah di sampaikan oleh Ketua Kumpulan Rondaan, Jawatankuasa Skim atau Ahli Jawatankuasa Skim.

7.3. Anggota Pemastautin Sukarelawan hendaklah dibaris 15 minit sebelum keluar membuat rondaan dengan tujuan memastikan:

7.3.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan hadir.

7.3.2. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan yang bertugas dibekalkan dengan peralatan rondaan.

7.3.3. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan menandatangani Buku Rekod Kedatangan.

7.4. Memberi taklimat mengenai arahan-arahan seperti berikut:

7.4.1. Laluan serta kawasan rondaan yang telah ditetapkan.

7.4.2. Cara-cara menjalankan rondaan.

7.4.3. Perhubungan dengan orang ramai.

7.4.4. Perhubungan dengan polis dan lain-lain agensi penguatkuasaan.

7.4.5. Arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim.

7.4.6. Memberitahu tempat-tempat yang perlu diambil perhatian untuk keselamatan diri.

7.4.7. Memberitahu kejadian-kejadian yang telah berlaku berdasarkan maklumat orang ramai dan rondaan terdahulu dari ini.

7.5. Menyuraikan baris Pemastautin Sukarelawan selepas taklimat.

7.6. Memberi arahan agar rondaan dimulakan mengikut laluan serta kawasan rondaan yang telah ditetapkan.

8. CARA MENJALANKAN RONDAAN

8.1. Berjalan ditepi jalan dalam jarak yang selamat dari kenderaan dihadapan dan kenderaan di belakang dan jika berkenderaan, kenderaan mesti dipandu perlahan dalam jarak yang selamat dari pengguna jalan raya yang lain.

8.2. Sentiasa berwaspada dan mengawasi keadaan serta laluan dan kawasan rondaan.

8.3. Jika rondaan dibuat pada waktu malam hari, elakkan dari membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman orang ramai.

8.4. Hendaklah menghubungi Pusat Rondaan bagi membuat laporan mengenai keadaan semasa dan perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera Pusat Rondaan.



9. TANGGUNGJAWAB KETUA KUMPULAN RONDAAN

9.1. Mengetahui ahli-ahli kumpulan rondaan dalam syif yang telah ditetapkan.

9.2. Memberi taklimat mengenai arah rondaan, peraturan-peraturan/larangan serta tindakan yang perlu di ambil semasa rondaan dan sebelum rondaan.

9.3. Mempastikan semua ahli syif menurunkan tandatangan dalam Buku Rekod Kedatangan.

9.4. Mempastikan semua ahli syif membawa peralatan yang ditentukan semasa rondaan.

9.5. Bertanggungjawab mengumpul semua peralatan yang digunakan selepas selesai rondaan dan menyimpan dalam stor/tempat yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.

9.6. Mengawasi supaya ahli-ahli mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Skim.

9.7. Membuat laporan dalam buku catatan Rondaan sesudah selesai menjalankan rondaan mengikut syif yang telah ditetapkan.



10. TANGGUNGJAWAB PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA RONDAAN



10.1. Sentiasa bersedia untuk mematuhi segala arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim, Ahli Jawatankuasa Skim dan Ketua Kumpulan Rondaan.

10.2. Sentiasa membawa Surat/Kad Pengenalan Diri dan menggunakan alat-alat yang ditentukan oleh Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim.

10.3. Sentiasa menjaga disiplin serta berkelakuan penuh tertib dan sopan semasa menjalankan Skim Rondaan Sukarela.

10.4. Sentiasa memakai ‘uniform’ yang telah diluluskan serta dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga semasa rondaan.

10.5. Seseorang Pemastautin Sukarelawan hendaklah pada sepanjang masa dan ketika:

a. Tidak mengingkari arahan Ketua Kumpulan Rondaan

b. Tidak menggunakan bahasa lucah dan memalukan, serta memaki hamun pada masa bertugas;

c. Tidur atau berjudi;

d. Tidak memberi maklumat palsu;

e. Tidak hadir bertugas tanpa sebab;

f. Tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa dadah pada masa bertugas;

g. Tidak secara cual atau tanpa sebab-sebab yang berpatutan menyebabkan terlepasnya tembakan sesuatu senjata api pada masa bertugas; dan

h. Tidak bertindak dengan apa-apa cara yang tidak dinyatakan di atas yang boleh memudaratkan kebajikan sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga.



11. KUASA MATA-MATA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA RONDAAN



11.1. Seseorang Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah disifatkan sebagai seorang pegawai polis berpangkat mata-mata dan mempunyai segala kewajipan, segala kuasa dan segala imuniti seorang pegawai polis berpangkat mata-mata.

11.2. Walau bagaimanapun, kuasa mata-mata Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah tertakluk kepada apa-apa atahan, syarat, sekatan atau batasan yang boleh dinyatakan semasa secara lisan atau bertulis oleh seorang Pengarah, Jawatankuasa Skim atau ahli Jawatankuasa Skim.



12. TAKLIMAT SELEPAS TAMAT RONDAAN

12.1. Ambil baris anggota Pemastautin Sukarelawan yang habis tugas di luar pusat rondaan.

12.2. Ketua Kumpulan Rondaan perlu menentukan:

12.2.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan baik dari tugas rondaan.

12.2.2. Arahan mengembalikan peralatan rondaan.

12.2.3. Memberi taklimat mengenai hasil daripada rondaan yang telah dilaksanakan.

12.2.4. Menyurai baris tugas.

12.2.5. Membuat catatan serta laporan rondaan di dalam Buku Rekod Rondaan.



13. MENJAWAB PANGGILAN TELEFON

13.1. Hendaklah menjawab telefon dengan tertib dan sopan santun sebagai mana kehendaki oleh Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatan Skim.

13.2. Mendengar dengan teliti dan mencatat apa-apa aduan, berita atau makluman yang hendak disampaikan oleh mereka yang membuat panggilan.

13.3. Memaklumkan dengan kadar segera apa-apaa aduan, berita atau makluman kepada Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim atau pihak polis; jika ianya memerlukan tindakan segera dan serta merta.



4. PERSIAPAN MENYERAH TUGAS PENYELIAAN DI PUSAT RONDAAN



14.1. Ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang ditugaskan di Pusat Rondaan dikehendaki membuat catatan satu senarai untuk serah menyerah tugas bagi menyenangkan untuk meneliti dan mempastikan semua perkara dalam keadaan lengkap.

14.2. Sebelum menerima tugas, ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang akan mengambil alih tugas menyelia Pusat Rondaan, mempastikan semua borang dan peralatan yang adalah lengkap dan sempurna.

14.3. Memberi taklimat dan arahan tugas kepada yang menerima tugas menyelia Pusat Rondaan.

14.4. Memberitahu jika ada aduan atau kes-kes terbaru yang diterima.

14.5. Memberi penerangan mengenai tahunan atau tangkapan samada masih dalam tahunan atau telah diserah kepada pihak polis.

14.6. Bersurai setelah diambil alih oleh ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang baru masuk bertugas.

15. LAIN-LAIN TUGAS DI PUSAT RONDAAN

15.1. Membantu orang ramai menunjukkan tempat yang ingin mereka pergi, contoh seperti ke rumah saudara mara dan sebagainya.

15.2. Menjadi mediator dalam sebarang pertelingkahan orang ramai jika diminta berbuat demikian.

15.3. Menghubungi Balai Polis berhampiran bagi mendapatkan maklumat atau bantuan jika diperlukan.

16. PENYELARASAN TUGAS DI PUSAT RONDAAN

16.1. Penyelarasan tugas di Pusat Rondaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.

16.2. Jawatankausa Skim bertanggungjawab melantik tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan pada satu-satu masa sebagai Penyelia di pusat Rondaan sewaktu rondaan sedang dilaksanakan.

16.3. Jawatankausa Skim bertanggungjawab bagi menentukan waktu bertugas ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan sebagai Penyelia Pusat Rondaan mengikut roster rondaan yang telah ditetapkan.

16.4. Jawatankuasa Skim hendaklah melantik salah seorang Penyelia Pusat Rondaan sebagai Ketua Penyelia Pusat Rondaan.



17. TUGAS PENYELIA PUSAT RONDAAN

17.1. Penyeliaan Pusat Rondaan hendaklah tiba di Pusat Rondaan satu (1) jam lebih awal sebelum syif rondaan bermula.

17.2. Penyelia Pusat Rondaan hendaklah mempastikan semua peralatan termasuk buku catatan bagi kegunaan rondaan telah disediakan oleh Jawatankausa Skim.

18. PERHUBUNGAN DENGAN ORANG RAMAI

18.1. Mempastikan Ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang bertugas di Pusat Rondaan atau yang menjalankan rondaan sentiasa menjaga disiplin, sopan dan santun serta berbudi bahasa dan pekerti yang tinggi mutunya sewaktu berurusan dengan orang ramai.

19. KERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS

19.1. Pihak polis hendaklah dimaklumkan mengenai kewujudan Skim Rondaan Sukarela di Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.

19.2. Satu salinan daftar Pemastautin Sukarelawan yang terlibat dengan Skim Rondaan Sukarela dan roster hendaklah diberikan kepada pihak polis.

19.3. Semua pihak termasuk Jawatankausa Skim, Ahli Jawatankausa Skim dan Pemastautin Sukarelawan hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung dengan sebarang maklumat mengenai Skim Rondaan Sukarela.

19.4. Pihak polis hendaklah juga dijemput untuk bersama-sama meronda bersama Pemastautin Sukarelawan.

19.5. Sebarang kejadian atau laporan yang mencurigakan hendaklah dimaklumkan kepada pihak polis sama ada oleh Jawatankuasa Skim Rondaan Ahli Jawatankuasa Skim dan Pemastautin Sukarelawan.



20. MENERIMA ADUAN ORANG RAMAI DI PUSAT RONDAAN

20.1. Apabila menerima aduan daripada orang ramai, tindakan yang perlu diambil oleh ahli Jawatankuasa Skim adalah:

20.1.1. Menerima dan membuat catatan di dalam buku catatan.

20.1.2. Memaklumkan kepada Jawatankuasa Skim dengan kadar segera.

20.1.3. Menerima arahan daripada Jawatankuasa Skim untuk tindakan selanjutnya.

20.1.4. Merujuk kepada Balai Polis yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

20.1.5. Merujuk kepada Pengarah Rukun Tetangga untuk tindakan selanjutnya.

21. KERJASAMA DENGAN LAIN-LAIN AGENSI KERAJAAN

21.1. Skim Rondaan Sukarela juga berharap untuk mendapatkan kerjasama dengan lain-lain Agensi Kerajaan seperti RELA, JAKIM, MAJLIS PERBANDARAN, PEJABAT, pejabat daerah serta lain-lain Agensi Penguatkuasaan undang-undang dalam manjayakan Skim ini.

21.2. Sebarang bentuk kerjasama dengan lain-lain agensi kerajaan boleh dibincangkan bersama dengan Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim di mana Skim Rondaan Sukarela dilaksanakan.

Rabu, 3 Mac 2010

Aktiviti Jiran Muda 2010

Persembahan Penari-penari Jiran Muda semasa kenduri kawin pada 10hb Jan 2010 di Kg Pandan.3 tarian dipersembahkan pada ketika itu.Para hadirin memberi pujian dan terhibur dengan tarian yang dipersembahkan.

Senarai Aktiviti 2009

SENARAI AKTIVITI YANG DIJALANKAN SEPANJANG TAHUN 2009

1)Program Gotong Royong Membersihkan Kawasan Semak Samun Dihadapan Blok B Untuk Dijadikan Gelanggang Sepaktakraw Pada 03 Hb Mei 2009

2)Pengerusi KRT menghadiri conference di Hotel Mandarin Court pada 22 Jan 2009

3)Menyertai Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Di Taman Tasik Titiwangsa Dengan Menghantar Peserta Acara Sukaneka Dan Pertandingan Memancing Pada 31hb Mei 2009 Seramai 70 Orang.

4)Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Ppr Kg Muhibbah Pada 15hb Ogos 2009

5)Menghantar peserta dari kalangan Tunas Jiran menyertai pertandingan mewarna anjuran JASA di PPR Kg Muhibbah 2

6)Menghantar 6 orang wakil ke majlis berbuka puasa bersama pemimpin Tan Sri Dato’Koh Su Kon pada 3 sept 2009 di Rumah Puspanita.

7)Aktiviti Jiran Muda berlatih Sepaktakraw setiap petang bermula Julai 2009.

8)Aktiviti Jiran Muda berlatih tarian di rumah jurulatih tarian setiap hujung minggu.

9)Menjadi tuan rumah dan menyertai berbagai acara di dalam Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di PPR Kg muhibbah anjuran JPNIN WPKL pada 23,24 dan 25 hb Okt 2009

10)Menghantar 4 orang wakil ke taklimat memperkasakan SRS peringkat wilayah di Hotel Pearl,Jln Klang Lama pada 12 April 2009

11)Mengawal keselamatan di kuil PPR Kg Muhibbah semasa pesta ponggal 2009 diadakan.

12)Mengawal keselamatan di sekitar PPR Kg Muhibbah semasa perarakan perayaan Thaipusam 2009 diadakan

13)Mempersembahkan tarian Jiran Muda (Johan pertandingan Jiran Muda 2009) semasa majlis kenduri salah seorang peduduk PPR Kg Muhibbah pada 31hb Dis 2009.

14)Menghantar wakil seramai 6 orang ke Program Ceramah 1 Malaysia Peringkat Daerah Brickfields dan Cheras di Dewan Bahasa & Pustaka pada 21 Dis 2009

15)Mengadakan perlawanan persahabatan Sepaktakraw antara Jiran Muda Krt PPR Kg Muhibbah dengan PPR Pantai Ria pada 22 Nov 20009.

Sabtu, 27 Februari 2010

Gotong-royong Muhibbah


Gotong-royong membersihkan kawasan semak samun dihadapan Blok B untuk dijadikan gelanggang Sepaktakraw pada 03 Mei 2009.Gotong-royong ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan DBKL dan Pejabat Cawangan Seputeh DBKL.Seramai 20 orang kakitangan Jabatan kesihatan Zon Klang Lama terlibat secara langsung dalam program ini.

Combi 2009

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Kg Muhibbah sedang memberikan ucapan ketika perasmian program COMBI.Turut hadir Puan Habibah Jaafar(Pegawai Perpaduan Daerah Cheras)En Zaizie(Pembantu Pegawai Perpaduan D.Cheras)Dr Umi Hj Ahmad (Pegawai Kesihatan Zon Klang Lama)Dr Azmi(Timbalan Pengarah Kawalan Vektor dan Penyakit Berjangkit)En Wan Nordin Wan Mohamad(Pengurus Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak DBKL)En Zamzuri(Pelawat pejabat kecil perumahan PPR Kg Muhibbah).Kehadiran penduduk seramai 1500 orang.Pengacara majlis pada malam tersebut adalah Puan Norazlina Md Yusof.

Jumaat, 26 Februari 2010

Pengiktirafan dari Jabatan


Sebahagian angggota SRS yang hadir ketika menerima Sijil Penghargaan dari Jabatan Perpaduan sebagai SRS Harapan Tahun 2008.

Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin KRT wilayah 2009



Terima kasih kerana sudi mengambil gambar sebagai kenangan semasa Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin KRT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jiran Wanita 2009

salah satu aktiviti Jiran wanita iaitu memasak bubur lambok pada bulan Ramadhan yang lalu.Selain itu jiran wanita turut mengadakan bacaan yassin rumah ke rumah,mengadakan poco-poco dan lain-lain aktiviti lagi.Gambar ini diambil semasa sebahagian ajk Jiran Wanita sedang membungkus Bubur Lambok untuk diedarkan kepada penduduk,Surau An-Nur dan Surau as-Asyakirin pada 11hb Sept 2009 yang lalu.Pada hari tersebut turut diadakan jamuan berbuka puasa yang mana turut hadir sama ajk UMNO bahagian Lembah Pantai En Selamat Sabrah.

Aktiviti 2010

Salah satu aktiviti jiran muda adalah berlatih Sepaktakraw setiap petang.Pada 22 Nov 2009 telah diadakan perlawanan persahabatan di antara PPR Kg Muhibbah dan PPR Pantai Ria.pada 13 Dis 2009 perlawanan persahabatan antara PPR Kg Muhibbah dengan Kg Medan.Perlawanan-perlawanan itu diadakan bertujuan memupuk semangat kesukanan dan menjalinkan hubungan yang erat diantara kawasan rukun tetangga yang berhampiran disamping menambah pengalaman dikalangan pemain.Pihak KRT PPR Kg Muhibbah mengalu-alukan krt lain menghubungi pihak kami untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan krt kami.

Khamis, 25 Februari 2010

Johan Pertandingan Tarian Jiran Muda Peringkat Wilayah 2009

Jurulatih tarian Puan Norsidah Norhan mewakili penari-penari menerima hadiah berupa mok check sebanyak RM500 sahaja daripada Tan Sri Datuk Koh Su koon Menteri Di Jabatan Perdana Menteri semasa "Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian" di PPR Kg Muhibbah pada 25hb Okt 2009.Pada 24hb Okt 2009 diadakan Wayang Pacak yang julung-julung kalinya diadakan disini.Turut diadakan gotong royong memasak yang mana Tan Sri turut mengacau gulai yang sedang dimasak.Berbagai acara sukaneka,pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika,pertandingan gubahan,gerai pameran,persembahan artis dan lain lain lagi.Acara kemuncak iaitu perasmian Kabin yang dijadikan Pusat Skim Rondaan Sukarela yang mana kabin pasang siap ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.Program yang berlangsung 2 hari 1 malam itu amat meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum.Kehadiran dianggarkan seramai 8 ribu orang.PPR kg Muhibbah merupakan kawasan Hot Spot.Maka diharapkan dengan adanya kabin tersebut akan menaikkan lagi semangat di kalangan anggota SRS untuk terus meronda bagi memastikan kawasan PPR Kg Muhibbah ini selamat untuk didiami.Kerjasama dari semua pihak diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerana perpaduan,keselamatan adalah tanggungjawap bersama.

Pertandingan Karom Jiran Muda

Sebahagian peserta pertandingan Karom sedang berentap bagi memastikan kemenangan dalam genggaman.

Program Sambutan Minggu Perpaduan Muhibbah 2009

Ucapan perasmian oleh Pengarah JPNIN WPKL En Abd Karim Abu Seman semasa program sambutan minggu perpaduan peringkat ppr kg muhibbah diadakan pada 15 hb Ogos 2009.Sebelah pagi diadakan pertandingan karom jiran muda dan terbuka.Selain itu turut diadakan pertandingan karoeke,pertandingan shuffle dan kuiz perpaduan.Sebagai selingan ketika menikmati juadah tengahari hadirin disajikan dengan ceramah bertajuk "Anak Derhaka".Penyampaian hadiah turut diselangseli dengan cabutan bertuah.Turut hadir sama adalah Pembantu Pegawai Perpaduan Daerah Cheras En Ashri Mat Zain.

SEJARAH AWAL PENUBUHAN

KAWASAN RUKUN TETANGGA ( KRT) PPR KG MUHIBBAH
BATU 6 ½,JALAN PUCHONG 58200 KUALA LUMPUR.

Pada bulan 01 Mei 2005 mangsa kebakaran setinggan Pantai Dalam telah diarahkan berpindah ke PPR Kg Muhibbah oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur berikutan hanya di sini sahaja satu-satunya tempat yang boleh menampung pemindahan dengan jumlah yang agak ramai.Selang 2 minggu selepas itu Mangsa Kebakaran Setinggan Kg Sentosa pula berpindah di sini.En Salim kashbullah adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Setinggan Pantai Dalam telah dilantik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika itu Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mangsa Kebakaran Pantai Dalam.Selain menguruskan hal ehwal mangsa kebakaran Pantai Dalam, En Salim turut membantu mangsa-mangsa kebakaran Kg Sentosa atas arahan pejabat Ketua Pengarah DBKL.

Pada ketika itu majoriti penduduk PPR Kg Muhibbah adalah terdiri dari kalangan kaum India seramai 190 keluarga 10 keluarga melayu/cina manakala Pemindahan mangsa kebakaran dengan jumlah 200 keluarga Dari Pantai Dalam dan Kg Sentosa.Pergaduhan antara kaum melayu dan India kerap berlaku.

Berikutan kejadian pergaduhan antara kaum yang kerap berlaku Puan NorAzlina Md Yusof yang merupakan salah seorang kakitangan Jabatan Perpaduan Negara telah mencetuskan idea agar diwujudkan Rukun Tetangga disini bagi tujuan menyatupadukan penduduk dan meredakan ketegangan antara kaum yang berlaku itu.Puan NorAzlina telah memberi serba sedikit penerangan berkaitan kepentingan diwujudkan Rukun Tetangga kepada beberapa orang penduduk setempat.Selepas permohonan diajukan kepada Jabatan Perpaduan Negara maka pada 02 Julai 2006 telah diadakan Taklimat Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga di Padang Futsal PPR Kg Muhibbah dengan kehadiran 130 orang penduduk.

Sessi taklimat diberikan oleh Puan Hasnah Abd Jamil Pegawai Perpaduan Daerah Cheras.Turut hadir adalah En Abd Ghafar Abdullah Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kg Muhibbah.Semasa sessi pelantikan Jawatankuasa Rukun Tetangga En Salim Kashbullah telah dilantik sebagai pengerusi.Selepas sessi taklimat Jawatankuasa yang dilantik adalah sebagai penaja.

Pada 13 Oktober 2006 Kawasan Rukun Tetangga PPR Kg muhibbah telah diwartakan mengikut Akta Darurat(kuasa-kuasa Perlu)1979,Peraturan-peraturan perlu (Rukun Tetangga)1975 dibawah peraturan 5A yang telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga Dato’ Azman @ Azman Amin Bin Hassan.

Pada 21 Januari 2007 telah diadakan Pelancaran Program Gerak Padu /Perasmian Kawasan Rukun Tetangg dirasmikan oleh Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri En Joseph Entulu Belaun.Didalam majlis tersebut telah diadakan bacaan ikrar Rukun Tetangga yang diketuai oleh En Ramli Yasir selaku Ketua SRS.Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti Pertandingan mewarna,pertandingan gubahan/lipatan,pertandingan karaoke,pameran agensi kerajaan dan sukaneka.Hampir 3000 orang penduduk telah menghadiri program tersebut.

Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah diluluskan pada 24 Januari 2007.Mengikut Notis Kelulusan yang diterima,Pusat Rondaan boleh dilakukan samada di Pusat RT/Balai raya/Dewan orang ramai/atau Rumah persendirian.

Rondaan yang dilakukan oleh anggota SRS seramai 48 orang secara bergilir-gilir telah dapat membendung kejadian jenayah dan pergaduhan antara kaum yang berlaku di PPR Kg Muhibbah.Ketika rondaan dijalankan kes kecurian motosikal telah berkurangan sehingga 90 % mengikut data maklumat yang diperolehi dari pihak polis.

Seseorang pemastautin yang telah berumur 18 ke atas boleh memohon untuk menjadi anggota SRS dengan mengisi borang permohonan kepada Jabatan Perpaduan Negara melalui Ketua Jiran/pengerusi KRT iaitu En Salim Kashbullah.

Dibawah Peraturan 27A-Q Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga)1975 Seseorang pemastautin yang telah didaftarkan sebagai anggota SRS adalah mempunyai kuasa seorang Pegawai Polis berpangkat Konstabel di dalam kawasan ia diberi kuasa semasa menjalankan tugas rondaan(Peraturan 27 I).Kawasan rondaan yang diliputi seperti yang diluluskan oleh Ketua pengarah Rukun Tetangga.

Penerangan ini diharapkan dapat memberi maklumat yang sebenar kepada pemastautin/penduduk berkaitan Skim Rondaan Sukarela dan Rukun Tetangga.
Perpaduan tidak akan wujud tanpa kerjasama semua pihak.Bilamana ada pihak merasa sentiasa ditindas sedang satu pihak lagi berleluasa melakukan penindasan maka perpaduan tidak akan pernah wujud disini.Perpaduan bukan menjadi tanggungjawap satu pihak sahaja. Pihak berkuasa seperti pihak polis,DBKL dan lain-lain Jabatan kerajaan sewajarnyalah turut memberi komitmen dalam memastikan perpaduan dapat diteruskan.Tanpa kerjasama dari masyarakat, perpaduan dan persekitaran selamat tidak dapat direalisasikan disini.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi anggota SRS bolehlah mendapatkan Borang Permohonan daripada En Salim Kashbullah (Ketua Jiran/Pengerusi KRT) B-3-9 atau En Nazri @ Pak Tam B-15-7 (Pengerusi Jiran Muda)