KAWASAN RUKUN TETANGGA ( KRT) PPR KG MUHIBBAH
BATU 6 ½,JALAN PUCHONG 58200 KUALA LUMPUR.
Pada bulan 01 Mei 2005 mangsa kebakaran setinggan Pantai Dalam telah diarahkan berpindah ke PPR Kg Muhibbah oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur berikutan hanya di sini sahaja satu-satunya tempat yang boleh menampung pemindahan dengan jumlah yang agak ramai.Selang 2 minggu selepas itu Mangsa Kebakaran Setinggan Kg Sentosa pula berpindah di sini.En Salim kashbullah adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Setinggan Pantai Dalam telah dilantik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika itu Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mangsa Kebakaran Pantai Dalam.Selain menguruskan hal ehwal mangsa kebakaran Pantai Dalam, En Salim turut membantu mangsa-mangsa kebakaran Kg Sentosa atas arahan pejabat Ketua Pengarah DBKL.
Pada ketika itu majoriti penduduk PPR Kg Muhibbah adalah terdiri dari kalangan kaum India seramai 190 keluarga 10 keluarga melayu/cina manakala Pemindahan mangsa kebakaran dengan jumlah 200 keluarga Dari Pantai Dalam dan Kg Sentosa.Pergaduhan antara kaum melayu dan India kerap berlaku.
Berikutan kejadian pergaduhan antara kaum yang kerap berlaku Puan NorAzlina Md Yusof yang merupakan salah seorang kakitangan Jabatan Perpaduan Negara telah mencetuskan idea agar diwujudkan Rukun Tetangga disini bagi tujuan menyatupadukan penduduk dan meredakan ketegangan antara kaum yang berlaku itu.Puan NorAzlina telah memberi serba sedikit penerangan berkaitan kepentingan diwujudkan Rukun Tetangga kepada beberapa orang penduduk setempat.Selepas permohonan diajukan kepada Jabatan Perpaduan Negara maka pada 02 Julai 2006 telah diadakan Taklimat Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga di Padang Futsal PPR Kg Muhibbah dengan kehadiran 130 orang penduduk.
Sessi taklimat diberikan oleh Puan Hasnah Abd Jamil Pegawai Perpaduan Daerah Cheras.Turut hadir adalah En Abd Ghafar Abdullah Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kg Muhibbah.Semasa sessi pelantikan Jawatankuasa Rukun Tetangga En Salim Kashbullah telah dilantik sebagai pengerusi.Selepas sessi taklimat Jawatankuasa yang dilantik adalah sebagai penaja.
Pada 13 Oktober 2006 Kawasan Rukun Tetangga PPR Kg muhibbah telah diwartakan mengikut Akta Darurat(kuasa-kuasa Perlu)1979,Peraturan-peraturan perlu (Rukun Tetangga)1975 dibawah peraturan 5A yang telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga Dato’ Azman @ Azman Amin Bin Hassan.
Pada 21 Januari 2007 telah diadakan Pelancaran Program Gerak Padu /Perasmian Kawasan Rukun Tetangg dirasmikan oleh Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri En Joseph Entulu Belaun.Didalam majlis tersebut telah diadakan bacaan ikrar Rukun Tetangga yang diketuai oleh En Ramli Yasir selaku Ketua SRS.Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti Pertandingan mewarna,pertandingan gubahan/lipatan,pertandingan karaoke,pameran agensi kerajaan dan sukaneka.Hampir 3000 orang penduduk telah menghadiri program tersebut.
Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah diluluskan pada 24 Januari 2007.Mengikut Notis Kelulusan yang diterima,Pusat Rondaan boleh dilakukan samada di Pusat RT/Balai raya/Dewan orang ramai/atau Rumah persendirian.
Rondaan yang dilakukan oleh anggota SRS seramai 48 orang secara bergilir-gilir telah dapat membendung kejadian jenayah dan pergaduhan antara kaum yang berlaku di PPR Kg Muhibbah.Ketika rondaan dijalankan kes kecurian motosikal telah berkurangan sehingga 90 % mengikut data maklumat yang diperolehi dari pihak polis.
Seseorang pemastautin yang telah berumur 18 ke atas boleh memohon untuk menjadi anggota SRS dengan mengisi borang permohonan kepada Jabatan Perpaduan Negara melalui Ketua Jiran/pengerusi KRT iaitu En Salim Kashbullah.
Dibawah Peraturan 27A-Q Peraturan-peraturan Perlu (Rukun Tetangga)1975 Seseorang pemastautin yang telah didaftarkan sebagai anggota SRS adalah mempunyai kuasa seorang Pegawai Polis berpangkat Konstabel di dalam kawasan ia diberi kuasa semasa menjalankan tugas rondaan(Peraturan 27 I).Kawasan rondaan yang diliputi seperti yang diluluskan oleh Ketua pengarah Rukun Tetangga.
Penerangan ini diharapkan dapat memberi maklumat yang sebenar kepada pemastautin/penduduk berkaitan Skim Rondaan Sukarela dan Rukun Tetangga.
Perpaduan tidak akan wujud tanpa kerjasama semua pihak.Bilamana ada pihak merasa sentiasa ditindas sedang satu pihak lagi berleluasa melakukan penindasan maka perpaduan tidak akan pernah wujud disini.Perpaduan bukan menjadi tanggungjawap satu pihak sahaja. Pihak berkuasa seperti pihak polis,DBKL dan lain-lain Jabatan kerajaan sewajarnyalah turut memberi komitmen dalam memastikan perpaduan dapat diteruskan.Tanpa kerjasama dari masyarakat, perpaduan dan persekitaran selamat tidak dapat direalisasikan disini.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi anggota SRS bolehlah mendapatkan Borang Permohonan daripada En Salim Kashbullah (Ketua Jiran/Pengerusi KRT) B-3-9 atau En Nazri @ Pak Tam B-15-7 (Pengerusi Jiran Muda)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan